Tahfiz, usahawan ternakan berjaya



Mohd. Sallehuddin (depan) bersama sebahagian daripada lembu yang diternak telah ditempah oleh pelanggan sempena hari raya korban yang akan datang ini.

Meskipun baru menginjak usia 27 tahun, Sallehuddin berjaya menguruskan projek ternakan dengan baik bagaikan seorang usahawan yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.
Ketika ditanya apakah rahsia, Sallehuddin memberitahu, pengalaman membantu bapanya ketika kecil yang juga seorang usahawan ternakan lembu sebagai panduan mengusahakan projek berkenaan.

Katanya, minat dalam bidang keusahawanan terus dipupuk saban hari sehinggalah dia membuat keputusan mengambil alih perniagaan daripada bapanya.
Bermula dengan hanya bermodalkan 10 ekor lembu, Sallehuddin memulakan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya pada tahun 2005.



Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini berkata, biarpun mengambil alih perniagaan orang tua sejak tahun 1986, dia hanya mewarisi sebuah kandang yang kosong.

“Memang bapa memelihara lembu sebelum itu. namun sejak awal tahun 2000 kesihatannya merosot dan bapa lebih banyak berehat menyebabkan perniagaan sedikit merosot.

“Melihat keadaan tersebut, saya nekad untuk mengambil alih perusahaan ternakan dan bermula dari bawah," katanya ketika ditemui di ladang lembu miliknya di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
Mengenali dunia keusahawan sejak kecil menjadikan Sallehuddin tidak kekok menguruskan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Ujarnya, jika mahu berjaya, tauke mestilah turun padang dan menguruskan semuanya dari awal, bukan hanya duduk di dalam pejabat berhawa dingin semata-mata.
Ujar Sallehuddin, untuk menjadi penternak lembu yang berjaya perlu bermula seawal kerja-kerja mencuci najis lembu di kandang lagi.

“Rata-rata kita lihat ramai pengusaha ternakan lembu terpaksa gulung tikar dalam perniagaan akibat ketidakcekapan dalam menguruskan perniagaan.

“Sebagai generasi baharu, kita patut bersyukur kerana dengan kemudahan serta teknologi sedia ada memudahkan perniagaan dilaksanakan," katanya.

Sebagai contoh, jelas Sallehuddin, penggunaan laman web untuk mempromosi haiwan ternakannya dilihat berjaya mengembangkan perniagaannya.

Menggunakan nama Best Farm Enterprise, ladang milik Sallehuddin kini mampu memuatkan hampir 300 ekor lembu dan 150 ekor kambing dalam satu-satu masa.

Kebanyakan lembu dan kambing yang dipelihara dibawa masuk dari Thailand, Myanmar, dan Australia.
Sallehuddin menggunakan fidlot kerana mendapati sistem tersebut lebih mudah. Namun katanya, jika terdapat pembekal dalam negara, projek akan lebih mudah diusahakan.

Ini kerana, apabila negara terlalu bergantung kepada sumber ternakan dari luar negara seperti Thailand dan Australia, pembekal dari negara-negara luar sering memanipulasi harga.
“Perkara ini berlaku hampir setiap tahun. Tahun ini adalah yang paling ketara apabila Thailand telah menaikkan harga lembu RM400 seekor.

“Musim perayaan merupakan antara waktu kemuncak di mana pembekal haiwan ternakan ini akan mengambil kesempatan menaikan kadar harga sesuka hati mereka," katanya.

Terdapat beberapa gred bagi lembu yang dijual oleh Sallehuddin iaitu bermula daripada Gred A yang berharga RM3,000 seekor sehinggalah kepada Gred C, RM 2,500 seekor.

Ujarnya, harga tersebut meningkat dengan pantas berbanding pada awal pembabitannya iaitu pada tahun 2005 hanya RM1,900 sahaja seekor.

Kebanyakan lembu yang dibawa dari Thailand dan akan dikuarantin terlebih dahulu di Rantau Panjang selama 10 hari untuk memastikan ternakan bebas daripada sebarang penyakit.
Selepas itu, lembu-lembu yang dibawa masuk akan di pelihara selama tiga bulan sebelum dijual kepada pelanggan yang berminat.

Selain menawarkan lembu atau kambing untuk tujuan ibadah akikah dan korban, Sallehuddin turut menyediakan perkhidmatan penyajian makanan serta kambing golek untuk majlis-majlis keramaian.
Kambing golek dengan resipi dan rempah istimewa daripada Best Farm Enterprise adalah segar dari ladang.
Antara yang sering menempah kambing golek Sallehuddin termasuk Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan, agensi-agensi kerajaan, pihak media dan orang perseorangan.

Setelah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam perusahaan ternakan, kini Sallehuddin sedang membesarkan ladangnya.

Terletak di Hulu Yam, Selangor, ladang yang bakal dibuka pastinya lebih besar dan selesa dilengkapi bersama rumah sembelih, rumah pekerja serta kilang pemprosesan daging.
Sallehuddin yang tertarik dengan kejayaan negara Thailand dalam bidang ternakan berharap beliau dapat memajukan bidang tersebut setanding dengan negara itu.

Namun katanya, usaha tersebut perlu dilakukan secara berdikit-dikit bagi memastikan impian tersebut berjaya dilaksanakan.

Tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman menjadikan Sallehuddin benar-benar berdikari dalam memajukan perniagaannya.

Prinsipnya mudah, biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Katanya, ladang yang menelan belanja hampir jutaan ringgit tersebut akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Saya bukan sombong dengan tidak melakukan pinjaman perniagaan. namun daripada pemerhatian saya, kebanyakan usahawan yang meminjam sukar menghargai kemudahan yang diterima dan mudah putus asa.
“Seperti yang saya katakan dari awal, perniagaan dalam sektor ternakan ini nampak mudah di atas kertas (teori) namun secara praktikalnya amat sukar," katanya.

Terakhir, beliau berharap agar kerajaan dapat melonggarkan beberapa peraturan atau kerenah birokrasi agar sektor penternakan dapat berkembang dengan baik di dalam negara setanding dengan negara-negara jiran.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Best Farm anda boleh menghubungi sallehuddin di talian 012-222 8030, 019-233 8030 atau layari laman web akikahqorban.blogspot.com.








Related Posts :Info Agroculture, info business,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin