Chong Wei cipta sejarah Terbuka Malaysia
























Pemain nombor satu dunia Lee Chong Wei melakar nama sebagai pemain negara paling berjaya selepas memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia dengan bergaya untuk kali kesembilan di Stadium Putra di Bukit Jalil di sini hari ini.



Pada perlawanan akhir, pemain berusia 30 tahun yang merupakan pilihan utama dan juara bertahan dengan mudah menyingkirkan cabaran pemain pilihan kelapan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia dengan 21-7 dan 21-8 hanya dalam masa 32 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Kemenangan itu menyaksikan Chong Wei memecah rekod Wong Peng Soon yang menjuarai perseorang lelaki kejohanan itu sebanyak lapan kali iaitu pada tahun 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

Terdahulu, lebih 6,000 penonton yang memenuhi stadium kecewa apabila beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying kalah 13-21 dan 18-21 di tangan pilihan kedua, Joachim Fischer Nielsen dan Christinna Pedersen dari Denmark.

Pada perlawanan beregu lelaki, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia yang bukan pemain pilihan membuat kejutan apabila mengalahkan pemaih pilihan keenam Ko Sung Hyun dan Lee Yong Dae dari Korea Selatan dengan 21-15 dan 21-13.

Sensasi remaja China Taipei, Tai Tzu Ying meneruskan persembahan mengagumkan apabila menjuarai kategori perseorangan wanita selepas mengalahkan Yao Xue dari China dengan 21-17 dan 21-14.

Pilihan kelima, Bao Yixin dan Tian Qian dari China juga membuat kejutan apabila mengalahkan pilihan kedua Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dari Jepun dengan 21-16 dan 21-14 dalam kategori beregu wanita.

Pemenang kategori beregu masing-masing membawa pulang AS$31,600 (RM95,211), perseorangan AS$30,000 (RM90,390) manakala tempat kedua semua kategori menerima AS$15,200 (RM45,797).

Presiden Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyampaikan trofi dan cek kepada pemenang.   

Turut hadir pada perlawanan akhir itu ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia Paisan Rangsikitpho. 
















Related Posts :info sukan,

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin