Insentif RM500 kepada pekebun kecil


Sebahagian warga RISDA yang menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama warga RISDA Zon Utara di RTC Gopeng, Perak, semalam turut menyatakan kecintaan mereka kepada RISDA.
GOPENG 5 Mac - Kerajaan sekali lagi membuktikan keprihatinan membela nasib golongan pekebun kecil apabila mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 sebulan selama empat tahun kepada setiap pekebun yang mengusahakan tanah yang luasnya tidak melebihi 2.4 hektar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan insentif itu berkata, buat permulaan, kira-kira 1,000 pekebun kecil getah yang layak di seluruh negara sudah dikenal pasti untuk menerima imbuhan tersebut.


Katanya, inisiatif melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu hanya melibatkan pekebun kecil yang terlibat dalam program penanaman semula.
''Perkara ini baru dibawa ke Kabinet dan sudah pun diluluskan. Kita amat memahami wujud keadaan yang mana pekebun berdepan kekangan kerana tidak mempunyai pendapatan mencukupi atas pelbagai faktor.
''Kita harap ini dapat meringankan kos hidup mereka sepanjang tempoh penanaman semula kerana mereka mungkin tidak dapat menoreh, sekali gus pendapatan mereka juga tidak mencukupi menampung keperluan keluarga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan RISDA Zon Utara di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato' Yusoff Dohab; Ketua Pengarah RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Mohamat Muda.
Mohd Shafie berkata, pemberian imbuhan tersebut dibuat selepas mengambil kira kekangan yang dihadapi para pekebun kecil ekoran jumlah pendapatan yang tidak mencukupi khususnya sepanjang proses penanaman semula.
''Kita teliti secara mendalam memandangkan dalam tempoh empat tahun itu, kita boleh bantu mereka sehinggalah pokok dapat ditoreh. Kerajaan mahu pastikan kebajikan kumpulan ini sentiasa mendapat pembelaan," ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Shafie mahu kakitangan RISDA memberi sepenuh komitmen dalam membantu RISDA menjayakan segala agenda dan dasar kerajaan untuk memartabatkan industri getah ke peringkat lebih tinggi.
Sambil memuji kepimpinan RISDA sekarang, Mohd Shafie mahu warga RISDA terus bersatu padu dan bekerja sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Ketua Pengarah supaya organisasi itu terus hidup dan mencapai tujuan dan objektif penubuhannya.
''Sumbangan RISDA selama lebih 40 tahun sangat besar dan sangat bermakna dalam usaha kita memajukan industri ini. Saya harap komitmen secara total supaya kesinambungan kejayaan kita selama ini dapat diteruskan," ujar beliau.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin