Lahad Datu: Hampir 2,000 penduduk 7 kampung pindah



LAHAD DATU 6 Mac - Hampir 2,000 penduduk dari 7 kampung berpindah ke Embara Budi dan Fajar Harapan di Felda Sahabat berikutan langkah pasukan keselamatan memperluas operasi menjejaki kumpulan pengganas di Kampung Tanduo dekat sini.
Penduduk terlibat datang dari Tanjung Labian, Tanjung Batu, Lok Buani, Lok Sabang, Tanigian, Sungai Merah dan Balangi.
Sebahagian daripada 1,309 penduduk yang berpindah ke Fajar Harapan ditempatkan di Dewan Fajar Harapan dan selebihnya menumpang di rumah saudara.
Seramai 650 lagi berpindah ke Dewan Embara Budi.
Ketua masyarakat Lok Buani, Roslan Abdul Hamid berkata, kebanyakan penduduk di tujuh kampung itu bertindak meninggalkan kawasan kampung atas faktor keselamatan dan ada juga yang berbuat demikian selepas mendapat arahan pasukan keselamatan.
Bantuan makanan juga dihantar petang tadi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke lokasi penempatan sementara berkenaan.
Tinjauan Bernama di Fajar Harapan mendapati penduduk dibekalkan dengan barangan seperti beras, gula, sardin, biskut, gas dan dapur memasak.
Selain MKN, bantuan turut disumbangkan Jabatan Penerangan yang disampaikan sendiri Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Seorang penduduk dari Lok Buani, Julmal Sharif, 65, berkata, dia bersama 26 anggota keluarganya hanya berpindah ke Dewan Fajar Harapan hari ini selepas diarahkan pasukan keselamatan.
Katanya, mereka berjalan kaki selama sejam dari kampung mereka ke Fajar Harapan dengan hanya membawa sedikit pakaian.
Menurut penduduk dari Tanjung Labian, Assafal Alian, penduduk terutama kanak-kanak dan golongan warga emas yang berpindah turut memerlukan khidmat perubatan.
Beliau berkata, biarpun tidak tahu sampai bila mereka akan berada di dewan itu, penduduk terbabit tidak lagi perlu bimbang tentang keselamatan.
Sementara itu, Sharifah Adanah, 25, yang baru tiga hari melahirkan anak ketiganya, berharap perkhidmatan perubatan dapat diberikan kepada penduduk kampung di Dewan Embara Budi.
Menurutnya, bayi perempuannya itu belum menerima sebarang suntikan dan dia tidak dapat membawanya ke klinik berdekatan di kawasan Felda Sahabat kerana ditutup. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin