Pasukan perubatan dikerah bantu penduduk di pusat pemindahan

KOTA KINABALU 9 Mac - Pasukan perubatan dari Pusat Kesihatan Lahad Datu dikerah ke tiga pusat pemindahan berhampiran kawasan berlakunya insiden pencerobohan militan selatan Filipina di Kampung Tanduo, bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penghuni pusat pemindahan itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, pasukan perubatan dan kesihatan berlepas ke kampung itu pada 7 dan 8 Mac untuk memberi rawatan kesihatan serta mengambil langkah kawalan.
"Suntikan imunisasi diberi dan pasukan perubatan memeriksa ibu hamil. Kami turut menyediakan 18 tandas pasang siap. Pasukan ini akan ke sana setiap hari sehingga sebuah klinik sementara yang bersesuaian dapat diwujudkan. Dua pakar psikiatri dari Hospital Lahad Datu akan turut ke sana mulai hari ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini hari ini ketika diminta mengulas langkah kementeriannya dalam membantu penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan itu.
Terdahulu, Rosnah, yang juga Ketua Pergerakan Puteri Umno, menyampaikan sumbangan kepada balu dan waris yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna.
Katanya, ini merupakan susulan lawatan Pergerakan Puteri Umno yang sebelum ini memberi sumbangan kepada anggota keluarga yang terkorban di Klang dan Subang dalam insiden pencerobohan itu.
Pada majlis yang sama, Yayasan Nur Jauhar dan PERKEP Malaysia dan Sabah turut memberi sumbangan kepada anggota keluarga terbabit. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin