Lawatan sulung Najib ke Bangladesh























Lawatan sulung Najib ke Bangladesh



DHAKA 16 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi sulungnya ke Bangladesh selama tiga hari mulai esok bagi meningkatkan hubungan dua hala.

Lawatan pertama Najib selaku Perdana Menteri adalah atas jemputan rakan sejawatnya, Sheikh Hasina semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Bagi Sheikh Hasina, kunjungan Najib itu amat bermakna kerana selain daripada hubungan ekonomi dan politik yang sudah lama terjalin, Malaysia adalah antara negara yang paling awal mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Norlin Othman berkata, kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai perkara bagi meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada.

Menurut beliau, Perdana Menteri dijadual tiba ke bandar raya ini malam esok selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013 di Colombo, Sri Lanka.

Selain isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri akan turut diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Khas Malaysia di Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu.

''Pada hari kedua, Datuk Seri Najib akan diberi penghormatan untuk merasmikan Hospital Pakar Peringatan Sheikh Fazilatunnesa Muji dan Kolej Jururawat. Hospital itu dibina atas pembiayaan daripada dana keluarga Sheikh Hasina.

''Perdana Menteri dan Sheikh Hasina pada majlis itu akan turut menyaksikan majlis penyerahan operasi hospital itu yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat dari Malaysia, KPJ Health Care," kata Norlin dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada hari yang sama, Najib akan menyertai mesyuarat bilateral dengan rakan sejawatannya itu selain menerima kunjungan hormat daripada beberapa menteri Kabinet.

Norlin berkata, Perdana Menteri akan turut melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Bangladesh, Abdul Hamid.

Difahamkan beberapa isu bilateral akan disentuh oleh pemimpin kedua-dua negara termasuk isu rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia.

Ketika ini terdapat lebih 320,000 rakyat Bangladesh yang bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia.

Sejak tiga tahun lalu, rakyat negara ini yang bekerja di Malaysia menghantar wang berbilion ringgit ke negara mereka dan pada tahun lalu misalnya, mereka mengirimkan sebanyak RM3 bilion iaitu jumlah tertinggi berbanding pekerja Indonesia (RM2.9 bilion), Nepal (RM1.9 bilion), India (RM625 juta) dan Filipina sebanyak RM561 juta.

Sementara itu, Rosmah akan mempunyai aturcara berasingan termasuk merasmikan sambutan ulang tahun kelapan projek kebajikan kanak-kanak mulut sumbing iaitu projek usahasama antara Hospital Komuniti Dhaka dan Mercy Malaysia.

Projek kebajikan itu yang antara lain membiayai kos pembedahan kanak-kanak mulut sumbing pada kali ini lebih bermakna kerana mendapat perhatian istimewa daripada Rosmah melalui Program Permata Negara.

Selama di sini, Perdana Menteri dijadual melawat Tugu Peringatan Tentera di Savar dan Muzium Peringatan Bangabandhu.

Perdana Menteri dijangka pulang ke tanah air pada pagi Selasa. - MINGGUAN


Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin