Operasi KPDNKK banteras cetak rompak dan barangan tiruan
1,300 premis
jual produk tiruan
22 Julai 2015 1:11 AM
KUALA LUMPUR 21 Julai - Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengenal pasti 1,300 premis perniagaan di seluruh negara yang disyaki menjual produk tiruan dan cetak rompak termasuk peralatan telekomunikasi klon.
Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Othman Nawang berkata, pihaknya mengesan premis-premis tersebut sejak Januari lalu sehingga hari ini.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 460 premis perniagaan dikenal pasti di lokasi panas di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru manakala 840 di negeri lain.
“Kami juga telah mengambil tindakan terhadap 316 peniaga yang terlibat dalam penjualan barangan cetak rompak dan tiruan masing-masing di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Barangan Perihal Dagangan Palsu) seramai 244 peniaga dan Akta Hak Cipta 1987 (70 peniaga) dengan nilai rampasan sebanyak RM5.4 juta.
“Dalam masa yang sama, pihak kami turut menyita barangan tiruan seperti pakaian, alat komunikasi, perkakas komputer, barangan elektrik dan produk kulit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, kementerian akan mempertingkatkan operasi di seluruh negara untuk mengesan premis yang menjual peralatan telekomunikasi klon.
Katanya, setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penjualan gajet klon dan pihak terbabit bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, Othman berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras jualan barangan tiruan dan cetak rompak di seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, penguat kuasa memerlukan kerjasama orang ramai bagi membendung kegiatan itu dengan membuat aduan.
“Sekiranya permintaan dan penawaran barangan tiruan dan cetak rompak dapat dikurangkan, operasi sindiket tersebut dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.
- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/1-300-premis-8232-jual-produk-tiruan-1.115665#sthash.X35lIZ7r.dpuf
Comments
Post a Comment