Belajar tentang sejarah penanam padi

.
*SEJARAH PENANAMAN PADI DI SEMENANJUNG MALAYSIA*

Kegiatan penanaman padi di Malaysia, terutama sekali di Semenanjung Malaysia dikarakteristikkan sebagai elemen ekonomi tradisional berbanding dengan sektor-sektor lain yang lebih dinamik dan komersil.

Tradisional di sini bermaksud 1. padi ditanam sekali setahun; 2. wujud pengasingan jantina – kaum lelaki membajak tanah manakala kaum wanita menanam dan menuai padi; 3. menggunakan alatan dan kaedah yang antik.

Kegiatan menanam padi juga mewujudkan kepelbagaian adat mengikut tempat. Adat-adat setempat ini wujud kerana beberapa faktor; 1. keadaan tanah; 2. keadaan cuaca dan hujan; 3. topografi; dan 4. keadaan infrastruktur pengairan.

Penanaman padi secara kekal di Semenanjung Malaysia bermula pada abad ke 10 di Sungai Muda dan Sungai Merbok (Kedah-Perlis) dan kawasan lembah sungai di Kelantan dan Terengganu. Cara dan kaedah pertanian di kawasan-kawasan ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh Thai.

Kemudian, penanaman padi dipraktikkan di Melaka pada abad ke 15 ketika penjajahan Portugis dan Belanda. Orang Minangkabau yang berhijrah daripada Sumatera memperkenalkan kaedah penanaman padi secara basah di Melaka dan Negeri Sembilan, termasuk Pahang dan beberapa negeri lain sehingga abad ke 17.

Walau bagaimanapun terdapat sumber lain yang menyatakan kaedah penanaman padi basah ini diperkenalkan oleh orang Thai dan di bawa masuk ke utara Semenanjung pada abad ke 15.

Hubungan dalam pembentukan masyarakat di utara dan selatan Semenanjung banyak dipengaruhi oleh teknik penanaman padi basah. Di bahagian utara dipengaruhi oleh Thai terutama sekali Patani manakala di selatan banyak dipengaruhi oleh orang Sumatera. Penanaman padi menjadi penting dan sebagai sumber kehidupan untuk penduduk di Semenanjung Malaysia.

Kawasan penanaman padi dikenali sebagai bendang di utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), sawah di selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), paya di Pahang dan baroh di Kelantan dan Terengganu.

Masyarakat Melayu sangat rapat dengan tanaman padi yang menjadi sektor pertanian tradisi. Penanam padi biasanya berkomunikasi bagi bertukar idea dan pengalaman dalam menambahbaik amalan mereka.

Kaedah penanaman padi secara tradisional banyak menggunakan tenaga manusia dan haiwan; membajak tanah, menyediakan semaian anak padi, memindahkan anak padi, mengawal air, membaja, menghalau perosak, menuai, mengasingkan padi dari jerami, menjemur dan akhir sekali menghasilkan beras. Alat-alatan tradisional seperti kuku kambing, tenggala (bajak yang dipasang pada kerbau), ketam padi, sabit dan lain-lain lagi digunakan.

Ketika British menjajah Malaya, penanaman padi hanya dibuat sekali setahun. Ketika zaman penjajahan Jepun, Jepun telah memperkenalkan varieti padi dari Taiwan untuk tanaman dua kali setahun. Bermula di Skim Pengairan Sungai Kulim (Kedah), petani diberi benih jenis japonica yang cepat matang dan tidak sensitif kepada cahaya untuk ditanam pada tahun 1942-43.

Selepas Jepun berundur dari Malaya, British terpaksa mengimport beras dari luar dan meningkatkan kawasan penanaman padi kerana kekurangan beras. Ini termasuklah menggalakkan penanaman padi dua kali setahun dengan menggunakan varieti biasa pada Musim Utama dan _varieti japonica_ yang diperkenalkan oleh Jepun pada Luar Musim.

Bermula dari pertengahan 1950-an, teknik tanaman padi dua kali setahun disebarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Menjelang 1964, kaedah ini menjadi amalan standard di Skim Pengairan Muda (Kedah). Kaedah ini juga diperkenalkan di Barat Laut Selangor (Skim Pengairan Tanjong Karang) pada tahun 1962 dan pada tahun 1966, keseluruhan kawasan Barat Laut Selangor bertanam dua kali setahun meninggalkan Kedah yang mula-mula mengamalkan amalan ini.

Penanaman padi di Pantai Timur; Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak banyak bezanya dengan kawasan Pantai Barat. Musim padi juga ditentukan oleh hujan.

Di Kelantan dan Terengganu, padi ditanam di kawasan lembah yang dibanjiri air secara semulajadi. Terdapat sedikit perbezaan amalan penyediaan semaian diantara dua negeri ini.

Petani di Kelantan menyediakan semaian anak padi di kawasan kering berhampiran rumah mereka manakala petani di Terengganu menyediakan semaian basah di dalam paya atau pinggir sungai. Kaedah penanaman padi secara memindah anak benih ke dalam sawah dinamakan padi cedongan..

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu @ KADA (Kemubu Agricultural Development Authority) disempurnakan penubuhannya pada 30 Mac 1972.

Penyediaan infrastruktur yang mencukupi, penyeragaman musim penanaman padi di kawasan jelapang, subsidi dan bantuan kerajaan dan khidmat pengembangan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian membantu meningkatkan pengeluaran padi negara.

Peranan yang dibawa oleh padi tradisional ini telah membentuk masyarakat di Semenanjung Malaysia dan terus kekal sehingga ke hari ini.

Comments

Popular posts from this blog

PSY - GANGNAM STYLE hits world

Feri berlanggar, 38 terkorban

Ramai tahu perangai buruk Azmin